LONDON - Polis Britain semalam memindahkan pengasas laman web WikiLeaks, Julian Assange ke unit pengasingan di penjara Britain kerana faktor keselamatan.
Seorang peguamnya, Jennifer Robinson berkata, warga Australia berusia 39 tahun itu dipindahkan dari bahagian utama penjara Wandsworth di sini ke unit isolasi.
"Pihak berkuasa penjara memindahkan Assange dipercayai kerana untuk menjaga keselamatannya," kata Robinson.
Assange akan dihadapkan ke sebuah mahkamah di sini buat kali kedua pada Selasa depan setelah dia ditangkap menggunakan waran tangkap oleh pihak berkuasa Sweden kerana didakwa merogol dan mencabul dua wanita.
WikiLeaks bagaimanapun menegaskan, dakwaan tersebut bermotifkan politik kerana laman web itu telah mencetuskan kemarahan Washington dan kerajaan di serata dunia ekoran ia mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS).
Sementara itu, Robinson mengadu bahawa Assange tidak diberi kemudahan untuk tujuan rekreasi di penjara dan sukar untuk membuat panggilan telefon ke luar penjara.
Assange yang merupakan seorang bekas penggodam komputer, turut tidak dibenarkan memiliki komputer riba di penjara, tetapi peguam-peguamnya mengemukakan permintaan supaya dia dibenarkan memilikinya.
Ekoran penahanannya, beberapa tunjuk perasaan diadakan di negara kelahirannya, Australia dan di AS bagi menyatakan sokongan ke atasnya yang membocorkan banyak maklumat mengenai AS.
Dalam pendedahan terbaru laman itu, Myanmar dikatakan mempunyai program rahsia nuklear.
0 comments:
Catat Ulasan