.

.

rakan blogger....

terbaik bulan ini

Rabu, 3 April 2013

Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang




Yang Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Haji Awang adalah anak jati Kampung Rusila, Marang,Terengganu. Dilahirkan bulan Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947 merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mendekati rakyat terutamanya kaum petani dan para nelayan. Berbekalkan ilmu agama yang telah disemai dalam jiwanya sejak kecil lagi, beliau telah menjadi insan yang dihormati dan disegani terutama di persada politik tanah air mahupun antarabangsa. 


Tuan Guru Hj.Abdul Hadi Hj. Awang merupakan anak ke-5 daripada 9 orang beradik tetapi 4 daripadanya telah meninggal dunia. Ayahandanya, Hj. Awang Mohamad bin Abd Rahman manakala bonda beliau Hajjah Aminah Yusuf. Kedua-duanya telah meninggal dunia.

Ayah dan bonda beliau merupakan anak jati di kampung Rusila tempat Tuan Guru Hj. Abdul Hadi tinggal sekarang. Ayahanda beliau merupakan Tok Guru di Kampung Rusila begitu juga dengan bondanya menjadi tempat rujukan dan tumpuan masyarakat terutama dalam hal-hal berkaitan agama.

Tuan Guru Hi.Abdul Hadi telah mendirikan rumahtangga dengan Zainab Awang Ngah pada tahun 1976. Manakala perkahwinan beliau yang kedua pada tahun 1991 dengan Dr. Norzita Taat berasal Negeri Sembilan. Hasil perkahwinan beliau dengan kedua-dua isterinya telah dikurniakan 14 orang zuriat iaitu 11 dari isteri pertama dan 3 dari isteri kedua. 


YB Tuan Guru Hj. Abd Hadi mendapat pendidikan awal dari ayahandanya tahun 1955, seterusnya di Sekolah Rendah Rusila, tahun 1961. Beliau meneruskan pengajian di Sekolah Arab, Marang selama 5 tahun.

Dari tahun 1965 hingga 1968 beliau mendapat peluang melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. YB. Tuan Guru Hj. Abd Hadi meneruskan pengajian di Universiti Islam Madinah dii peringkat Ijazah Pertama dengan tajaan biasiswa oleh kerajaan Arab Saudi. Kemudian melanjutkan pengajian pada tahun 1974 hingga 1976 untuk peringkat Sarjana Siasah Syariah (MA) dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

YB. Tuan Guru Hj. Abdul Hadi pernah memegang jawatan Pegawai Yayasan Islam Terengganu dari tahun 1977 hingga 1978. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Terengganu.


Tuan Guru Hj. Abdul Hadi melibatkan diri dalam arena politik sejak 1964 sewaktu masih menuntut lagi. Beliau pernah menjadi Setiausaha PAS, Cawangan Kg. Rusila sehingga tahun 1969. Selepas balik dari luar negara tahun 1976, beliau telah memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Terengganu, kemudian pada 1977 menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Tahun 1983 dilantik menjadi Naib Presiden PAS. Apabila Dato' Hj. Fadzil Mohd Noor dilantik menjadi Presiden PAS, Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dipilih menjadi Timbalan Presiden PAS.

Berikutan Ustaz Fadzil kembali ke rahmatullah, beliau dilantik memangku jawatan Presiden PAS pada tahun 2003. Beliau menjadi Presiden PAS hingga sekarang selepas disahkan di dalam muktamar pada tahun 2005.


Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang mula bertanding pada pilihanraya 1978, di Dun Marang tetapi beliau kalah dengan kekurangan 64 undi sahaja kepada calon Barisan Nasional, Tengku Zahid. Bagaimanapun pada pilihan raya 1982 beliau dapat mengalahkan Tengku Zahid dengan majoriti 320 undi. Pada tahun 1986, beliau menang sekali lagi di DUN Rhu Rendang (nama baru DUN Marang selepas persempadanan semula) tetapi kalah di Parlimen Marang dengan majoriti yang tipis. Beliau kemudiannya berjaya memenangi Parlimen Marang pada pilihan raya 1990, 1995 dan 1999 disamping mengekalkan DUN Rhu Rendang hingga sekarang.

Selepas kemenangan PAS di Terengganu pada November, 1999, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sehingga Mac,2004 disamping menjadi Ahli Parlimen sebelum dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Pembangkang dari tahun 2003 hingga 2004.




0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...