BUTTERWORTH – Seorang bapa tergamak memperlakukan dua orang anaknya
yang berusia dua dan enam tahun seperti anjing apabila bertindak
mengikat kaki kiri mereka dengan rantai besi di dalam tandas rumahnya.
Pasangan adik-beradik itu ditinggal seharian oleh bapa mereka ketika
dia keluar bekerja dengan alasan anaknya itu nakal dan tiada orang
menjaga mereka ketika dia tiada di rumah.
Perbuatan lelaki berusia 40-an yang tidak berperikemanusiaan itu
terbongkar apabila kedua-dua beradik tersebut menjerit dan menangis
kelaparan pada pukul 6 petang kelmarin kerana mereka tidak diberikan
makanan oleh bapa mereka.
Jeritan kedua-dua beradik itu membongkar perbuatan kejam bapa mereka
selepas jiran-jiran yang tinggal di kawasan rumah kedai dua tingkat itu
memaklumkan perkara tersebut kepada polis.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis menyerbu rumah tersebut di
Taman Mawar, Raja Uda dekat sini dan menemui seorang budak perempuan
berusia enam tahun bersama adik lelakinya berumur dua tahun dalam
keadaan menyayat hati.
Ketika ditemui pada pukul 8.45 malam, kedua-dua beradik itu yang
diikat dengan rantai dan dikunci dengan mangga besi hanya memakai baju-T
serta seluar dalam di dalam tandas.
Ketika diselamatkan, bapa kanak-kanak tersebut yang bekerja sebagai
buruh tiada di rumah kerana keluar bekerja sejak pukul 3 petang
kelmarin, manakala ibu mereka yang merupakan warga Thailand pula
dikatakan telah meninggalkan tiga beranak itu sejak sebulan lalu.
Difahamkan, kedua-dua beradik itu diperlakukan sedemikian oleh
bapanya sejak sebulan lalu setiap kali dia keluar bekerja selepas ibu
mereka menghilangkan diri.
Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli
Alias berkata, seorang penduduk yang mendengar jeritan dan tangisan
kanak-kanak itu cuba membantu mangsa tetapi malangnya pintu rumah
tersebut dikunci dari luar.
1 comments:
tulisan yang baik untuk di simak,,nice post
Catat Ulasan