MALAM amal Setulus Kaseh bersama Maher Zain akan dianjurkan untuk membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyumbangkan kepada pengumpulan dana bagi urusan operasi pusat perlindungan, Rumah Titian Kaseh (RTK), Taman Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Program anjuran Yayasan Kemanusiaan Muslim AIDS Malaysia dengan kerjasama RTK, Innovative Management Consultancy, Alumni ESQ dan Pusat Perlindungan Pernim ini akan diadakan pada 26, 27 dan 28 Disember 2010 bertempat di Summit Hotel, Subang USJ bermula pukul 8 malam.
RTK merupakan sebuah rumah perlindungan untuk membela nasib anak-anak yatim dan piatu, anak-anak yang terbiar dan ditinggalkan, orang kelaian upaya (OKU), warga emas yang terbiar serta mereka yang malang dan terpinggir dari masyarakat.
Menurut pengurus program program Malam amal Setulus Kaseh, Roha Hassan, objektif utama penganjuran Malam amal tersebut adalah untuk mengumpul dana bagi membeli rumah yang selama ini disewa mereka itu.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengumpulkan dana operasi RTK agar dapat memberi keselesaan kepada penghuninya di samping membolehkan mereka mendapat bimbingan sempurna.
Malam Amal Setulus Kaseh ini akan menampilkan penyanyi yang berasal dari Lebanon, Maher Zain yang akan menyampaikan lagu-lagu daripada album Thank You Allah.
Selain itu, majlis tersebut akan turut diserikan dengan persembahan artis tanah air, antaranya, kumpulan Rabbani, Diwani, Devotees, Demascus dan Marjan.
Roha berkata. sumbangan boleh dibuat dalam bentuk kewangan, barangan dan pembelian meja.
Tambahnya, pihak mereka berharap untuk mengumpul sumbangan konsert amal sebanyak RM250,000.
"Melalui pembelian meja, kami menawarkan empat pakej utama iaitu Meja Cinta bernilai RM10,000, Meja Kasih (RM5,000), Meja Sayang (RM3,000) dan Meja Ukhwah (RM2,000). Setiap sumbangan yang diberikan akan diserahkan sepenuhnya kepada Rumah Titian Kaseh dan Pusat Perlindungan Pernim," jelasnya pada sidang media di Menara Kuala Lumpur, kelmarin.
Tambahnya, konsert yang lebih berbentuk kekeluargaan ini mendapat sambutan hebat dan ramai yang sanggup untuk menyumbang dengan lebih semata-mata kerana mahu melihat Maher Zain secara dekat.
"Maher Zain akan meluangkan selama 30 minit pada konsert pertama pada 26 Disember nanti untuk beramah mesra dengan para penonton. Tiada sidang media rasmi diadakan kerana program ini lebih berbentuk santai,"katanya.
Tambahnya, sehingga 23 Disember lalu, sebanyak 70 peratus meja telah ditempah.
Mengulas lanjut, Roha berkata tempahan meja boleh dibuat melalui wakil-wakil iaitu Muslim Aid (03-2281996/03-22821996), Rumah Titian Kaseh (03-40255246) atau untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web www.muslimaidasia.com.
0 comments:
Catat Ulasan