PAGI
hari. Anda menghadap segelas teh tarik dan sekeping roti canai.
Tiba-tiba seekor lalat jatuh ke dalam cawan minuman anda. Apakah anda
akan meminum airnya? Anda mungkin tidak meminumnya kerana jijik dengan
lalat tersebut. Pada hal dari segi saintifik air itu selamat diminum
setelah lalat direndam seluruhnya di dalam air kemudian dibuang. Lalat
yang biasa kita temui dan dibincangkan di sini merujuk kepada lalat
rumah.
DEFINISI
Nama
saintifik lalat rumah ialah Musca Domestica. Pengelasan lalat rumah
menurut ilmu zoologi diletakkan di dalam order serangga yang dipanggil
Diptera, iaitu serangga bersayap dua. Lalat mempunyai enam kaki dan
badan bersegmen meliputi kepala, toraks, dan abdomen.
KITAR HIDUP
Seekor
lalat rumah (selepas ini hanya disebut lalat) melalui empat peringkat
untuk mencapai kitar hidup yang sempurna. Perkembangannya bermula
daripada telur, larva, pupa dan lalat dewasa. Satu kitaran lengkap
mengambil masa di antara tujuh hingga sepuluh hari di bawah keadaan
mantap. Masa ini dipengaruhi oleh kelembapan, ketahanan telur, suhu dan
cahaya. Seekor lalat betina mampu bertelur sebanyak 2700 biji telur dan
biasanya dalam kelompok-kelompok yang berbeza. Setiap kelompok
mengandungi antara 350 hingga 900 biji telur.
Telur
yang matang selepas enam jam ditingkalkan dan akan berkembang di dalam
kepompong sehingga berukar menjadi lalat dewasa. Pada tempat yang
lembap, larva boleh mendaki ke tempat yang lebih tinggi daripada
permukaan kawasan telur ditinggalkan. Dalam satu kajian kes, terdapat
larva yang berjalan sehingga 150 kaki daripada kawasan pembenihan. Larva
kemudian bertukar menjadi pupa yang dilindungi kepompong dan membesar
dalam masa tiga hingga enam hari. Lalat dewasa kemudian keluar dan akan
bertelur selepas sebulan. Jangka hayat seekor lalat pula di antara satu
dan dua bulan pada musim panas.
CARA MAKAN
Lalat
tidak menggigit tetapi menyedut zat makanan seperti nyamuk dengan
menggunakan belalai. Sebelum makan, lalat merembeskan saliva untuk
melembutkan makanan. Hasil tindak balas kimia di antara saliva ke atas
makanan menjadikannya bertukar dalam bentuk cecair, kemudian disedut.
Lalat mempunyai lidah berbentuk penyedut (straw).
LALAT PADA PANDANGAN ISLAM
Pada
asasnya, lalat amat bahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan kerana
menjadi vektor yang membawa dan menyebar organisma berpenyakit. Bakteria
dibawa di luar permukaan badannya. Apabila hinggap di atas makanan,
lalat juga meninggalkan najis yang akan menyebabkan keracunan.
Kisah
lalat diceritakan dalam hadis nabi Muhammad S.A.W, pada suatu hari nabi
bersabda yang bermaksud, “Jika seekor lalat jatuh ke dalam minuman
kamu, rejamkannya ke dalam air. Satu sayapnya mengandungi racun manakala
satu sayap lagi mengandungi penawar.” (Hadis riwayat Bukhari, bilangan
537, jilid 4).
Perkara
yang sama dicatatkan juga dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam
Ahmad, Abu Daud, at-Tahawi, Said bin Khalid dan Thumamah ibn Abdullah
ibn Anas.
Shah
Wali Allah Ad-Dahlawi mengatakan di dalam kitabnya Hujjatullaahu
al-Baalighah bahawa hadis ini menunjukkan Allah bebas memberikan setiap
spesies yang beracun sistem imuniti atau penawar.
Hal
ini agar dapat memastikan kelangsungan hidup speasis tersebut. Racun
pada lalat merupakan alat untuk mempertahankan dirinya sendiri daripada
serangan musuh. Manakala penawar pula disediakan untuk memastikan
keselamatan makhluk lain yang dicemari racunnya. Hukum timbal balik ini
samalah seperti tindak balas di antara bes dan asid yang meneutralkan
anatara satu sama lain.
Lalat
dilengkapkan penciptaannya oleh Allah dengan kandungan penawar pada
sayap sebelah kanan dan racun di sayap kiri. Apabila merasa terancam,
seperti kakinya terlekat di dalam air mekanisma pertahanan diri akan
bertindak secara spontan. Sayap sebelah kiri dikepak mencecah air agar
racun yang dimiliki berupaya menewaskan musuh. Namun begitu, biasanya
air yang melekat pada sayapnya tidak mampu memberi kekuatan kepadanya
untuk terus terbang. Ketika itu, sayap sebelah kanannya masih lagi tidak
mencecah air. Justeru kitalah yang terpaksa menyelamkan lalat ke dalam
air bagi memastikan racun yang terserak dineutralkan semula.
Dr.
Gyath Hassan Al-Ahmad di dalam bukunya At-Tibb An-Nabawi fi Daw Al-‘Ilm
Al-Hadith (Perubatan Kenabian dalam Sains Moden) melaporkan bahawa Dr.
Nabih Da’ish menjalankan eksperimen di Universiti Raja Abdul Aziz,
Riyadh. Dr. Nabih menyediakan sampel sepuluh kultur bakteria daripada
air steril yang dimasuki lalat tanpa menyelamkan lalat. Sepuluh sampel
yang ditenggelamkan lalat sekali, dua dan tiga kali masing-masing.
Kemudian kesemua 40 sampel diperhatikan kandungan bakteria. Hasilnya,
beliau mendapati koloni bakteria berkurang apabila jumlah selaman
meningkat. Air yang tidak diselam lalat mengandungi paling banyak
bakteria, manakala air yang diselam lalat sebanyak tiga kali mengandungi
bilangan bakteria paling sedikit.
Selain
itu, sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Dr. Jamaal Haamid dari
Jabatan Mikrobiologi Perubatan, College of Science Qassim University
menjalankan kajian penentuan jenis bakteria yang terdapat pada sayap
lalat. Beberapa spesies lalat diambil untuk kajian. Dua piring petri
diletakkan air steril, lalat dijatuhkan dalam piring kedua tanpa
menenggelamkannya. Sebaliknya lalat dijatuhkan dan ditenggelam
sepenuhnya dalam piring pertama. Hasil kajian mendapati lalat yang
dikaji mempunyai bakteria E. Coli sp. (baca 'e-kolai') yang diperoleh
dalam piring petri kedua. Manakala dalam piring petri pertama, sejenis
antibiotik Aktinomiesis (Actinomycis) diekstrak. Antibiotik ini
merupakan antigen dalam sistem imun yang memusnahkan fungsi bakteria
yang bertindak selaku patogen.
Penemuan
yang menarik ini menentusahkan kehadiran racun dan penawar yang
terdapat pada kedua-dua sayap lalat. Kajian oleh kumpulan Dr. Jamaal
juga mengambil kira speasis lalat selain lalat rumah. Keputusan
menujukkan walau pun jenis bakteria yang dimiliki berbeza, jenis
antibiotik tetap sama. Antara jenis bakteria yang diperoleh dalam kajian
ini termasuklah Staphylococcus sp., Salmonellas sp., Proteus sp., dan
Coynibacterium Dephheroid.
Perkembangan
teknologi perubatan akhirnya menggerakkan saintis sama ada Islam atau
Barat untuk mengkaji kesasihan hadis rasulullah S.A.W ini. Dua penemuan
sains yang dijalankan oleh saintis Islam mengesahkan kebenaran hadis
nabi Muhammad S.A.W. Kita selaku orang yang beriman kepada kerasulan
nabi Muhammad harus merasa takjub, lantas meningkatkan lagi keyakinan
kita terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda. Perkara ini
sekurang-kurangnya menjadi hujah kepada orang yang beriman bagi menolak
tohmahan kononnya nabi seorang ahli sihir atau seorang yang pandai
mereka-reka perkara yang tidak pasti.
Bagaimana
nabi Muhammad S.A.W mengetahui perkara ini sedangkan pada waktu itu
belum ada teknologi yang canggih untuk mengesahkan kesahihan hadis
baginda? Hal ini tidak lain melainkan nabi Muhammad S.A.W mendapat ilham
daripada Allah secara langsung. Sesuailah dengan sifat baginda apabila
bercakap. Allah menegaskan di dalam ayat 3 dan 4 surah an-Najm,
mafhumnya;
“Dan dia (Muhammad) tidak bercakap mengikut hawa nafsunya. Melainkan apa yang diwahikan oleh pemberi wahyu (Allah)”
Glosari
Ø Antigen – Antibodi yang menjadi agen perencat kepada keaktifan virus dan bakteria yang menyerang sistem tubuh.
Ø Patogen – Bendasing yang hadir dalam bentuk bakteria atau virus yang mengganggu sistem pertahanan tubuh.
Ø Kultur – proses pembiakan bakteria yang digunakan dalam bidang biokimia, bioteknologi dan perubatan.
Ø Steril – bebas daripada sebarang bakteria atau bendasing.
0 comments:
Catat Ulasan